Aktiviti/Makluman

 Bagi memperkasakan dan menyokong aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), Pelan Pembangunan Pendidikan (PPPM) 2013 – 2025 serta Anjakan 3 yang terkandung dalam PPPM, Menteri Kanan Pendidikan, YB Senator Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin telah memperkenalkan inisiatif Sekolahku SEJAHTERA sebagai konsep yang akan memayungi pelbagai tema, inisiatif serta program Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang berteraskan nilai-nilai murni.

YB Datuk Dr. Radzi berpandangan bahawa inisiatif ke arah pembentukan budaya amalan baik di sekolah oleh guru dan murid perlu dimantapkan lagi dan dilaksanakan secara berterusan sama ada di dalam dan di luar kelas melalui aktiviti kurikulum dan kokurikulum.

Selaras dengan matlamat tersebut yang telah dibentangkan oleh Menteri Kanan Pendidikan sebelum ini, bertempat di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) Putrajaya, Majlis Pelancaran Sekolahku SEJAHTERA diadakan pada hari ini untuk menghebahkan pelaksanaannya. Konsep Sekolahku SEJAHTERA dirangka berdasarkan prinsip FPK bagi mewujudkan suasana sekolah yang selamat, aman, selesa, menggembirakan, membina dan menyeluruh ke arah mencapai kesejahteraan masyarakat.

Dalam ucapan beliau, Menteri Kanan Pendidikan berkata, terdapat pelbagai program yang menerapkan nilai-nilai murni dilaksanakan oleh KPM, namun terdapat keperluan untuk memperkenalkan konsep Sekolahku SEJAHTERA bagi mengukuhkan pelaksanaan program penerapan nilai-nilai murni sedia ada pada peringkat sekolah supaya lebih berstruktur dan bersistematik.

“Konsep Sekolahku SEJAHTERA digagaskan bagi memperkenalkan, mempromosi dan meningkatkan kefahaman terhadap elemen-elemen sejahtera yang perlu sentiasa diterap, dididik, diamalkan dan dihayati sehingga menjadi budaya semua warga sekolah,” jelas beliau dalam ucapan awalnya.

Penerapan elemen SEJAHTERA yang bermula dari peringkat prasekolah itu akan berterusan hingga ke peringkat menengah, sekali gus akan diamalkan sepanjang hayat oleh mereka. Guru-guru juga tidak akan dibebankan dengan apa-apa tugasan sampingan berikutan pengenalan konsep Sekolahku SEJAHTERA sebaik-baik sahaja konsep tersebut dilaksanakan. “Konsep ini juga bermatlamat untuk menambah baik peranan guru sebagai pemboleh daya penerapan elemen sejahtera, jelas YB Datuk Dr. Mohd. Radzi yang turut memberikan jaminan bahawa guru-guru tidak perlu khuatir tentang penambahan bebanan tugas baharu kerana konsep ini diperkenalkan untuk mewujudkan suasana harmoni di sekolah tanpa beban kerja tambahan.

Konsep Sekolahku SEJAHTERA yang akan dimulakan pada sesi persekolahan akan datang turut bermatlamat untuk melahirkan generasi muda yang hebat sekali gus mampu bersaing pada peringkat dunia. YB Datuk Dr. Mohd. Radzi menjelaskan bahawa matlamat tersebut boleh dicapai melalui penjiwaan terhadap 14 elemen penting yang terkandung di bawah Konsep Sekolahku SEJAHTERA.

“Konsep Sekolahku SEJAHTERA memberikan tumpuan kepada 14 elemen, namun tidak bermakna nilai lain itu tidak penting. Pendekatan konsep ini adalah untuk memastikan anak-anak yang lahir daripada sistem pendidikan negara mampu berdaya saing, tegas beliau.

Antara elemen penting tersebut ialah selamat, seronok, sihat, etika, empati, jati diri, adab sopan, harmoni, tekun, teliti, terampil, eksplorasi, rasional dan artikulasi. Pada masa yang sama, beliau menjelaskan pendekatan yang boleh digunakan oleh guru termasuklah menerapkan konsep tersebut melalui pelbagai aktiviti selain sesi pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas.

“Guru boleh menerapkan konsep ini secara semula jadi. Sebagai contoh, apabila guru yang berkenaan mengajar mata pelajaran Sejarah, mereka mengajar sesuatu tajuk yang berkaitan rapat dengan 14 elemen tersebut. Perkara yang paling utama ialah para pelajar dapat menjiwai konsep ini dan dapat melahirkan generasi hebat dan mampu bersaing pada peringkat dunia,” jelas beliau semasa mengakhiri ucapan pada majlis pelancaran tersebut.

Dalam majlis yang sama, turut diperdengarkan buat pertama kali lagu tema Sekolahku SEJAHTERA yang didendangkan oleh penyanyi terkenal Hakim Rusli.


Guru Tunjang Sekolah Sejahtera

Tema ini menyentuh peranan guru dalam memperkasa keilmuan dan profesionalisme bagi membina generasi baharu negara yang dapat memenuhi matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Guru merupakan insan yang sentiasa dahagakan ilmu dan tidak jemu memperlengkap dirinya dengan pelbagai pengetahuan, kemahiran dan nilai sejajar dengan prinsip pembelajaran sepanjang hayat (lifelong learning).

Dalam konteks berguru, ilmu hendaklah diperoleh daripada seseorang yang mempunyai kepakaran atau kemahiran yang autentik serta berasaskan sumber yang betul, sahih dan berwibawa. Murid perlu menginsafi bahawa tidak ada manusia yang mencapai kejayaan di dunia ini tanpa kehadiran insan bergelar guru. Guru juga insan yang banyak membentuk karakter dan keperibadian seseorang.

Berguru merupakan suatu proses pembelajaran berterusan yang tiada berpenghujung, selagi mana seseorang itu masih menikmati kehidupan di dunia ini. Seseorang yang berguru dengan niat ikhlas untuk mendapatkan ilmu akan terus berusaha meningkatkan kefahaman terhadap ilmu tersebut dan juga berusaha meneroka bidang ilmu baharu. Ini akan melahirkan lebih ramai ilmuwan yang mampu mencipta dan mereka produk serta perkhidmatan yang memberi impak tinggi kepada masyarakat dan negara.

Murid yang ada pada hari ini merupakan generasi pewaris masa hadapan negara. Oleh hal demikian, adalah penting untuk guru menanam dalam jiwa muridnya akan kecintaan dan dahaga kepada ilmu. Kecintaan mereka kepada ilmu akan melahirkan generasi baharu yang lebih gemilang dalam pelbagai aspek kehidupan.

KPM yakin bahawa tema “Guru Tunjang Sekolah Sejahtera’ ini dapat memberi semangat baharu kepada guru serta murid dan seterusnya membentuk masyarakat yang menuntut iimu dengan niat ikhlas agar ilmu mudah melekat dalam sanubari.

Definisi Logo Hari Guru 2022

logo hari guru sekolahku sejahtera 2022

Konsep Sekolahku Sejahtera adalah penerapan nilai, etika, kerohanian dan identiti nasional bagi melahirkan insan sejahtera yang menyumbang kepada kemakmuran negara, masyarakat, negara dan komuniti global.

SEJAHTERA terdiri daripada 14 elemen nilai-nilai murni yang ingin diketengahkan kepada murid oleh guru-guru:

  1. S : Selamat, Seronok dan Sihat
  2. E : Etika dan Empati
  3. J : Jati Diri
  4. A : Adab sopan
  5. H : Harmoni
  6. T : Tekun, Teliti dan Terampil
  7. E : Eksplorasi
  8. R : Rasional
  9. A : Artikulasi

Guru di Prasekolah berperanan memperkenalkan nilai-nilai murni ini dan membimbing murid dalam amalan seharian mereka. Di peringkat Sekolah Rendah pula, peranan guru berubah daripada pembimbing kepada mentor. Murid seharusnya mampu mempamerkan nilai-nilai murni yang diketengahkan. Pada peringkat Sekolah Menengah, guru bertindak sebagai fasilitator kepada murid untuk mengamalkan nilai-nilai tersebut dalam setiap aktiviti di sekolah.

Maklumat lanjut mengenai konsep Sekolah Sejahtera serta sambutan hari guru Tahun 2022 boleh dibuka pada pautan berikut:

Objektif Hari Guru Malaysia

Dikongsikan juga antara objektif-objektif kenapa diadakan Hari Guru ini:

  1. Memupuk semangat perpaduan ikhtisas dan muhibbah di antara guru
  2. Menitikberatkan peranan guru dalam pembinaan kebangsaan (termasuk perpaduan dan integrasi), pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat
  3. Meninggikan martabat dan taraf guru dalam masyarakat
  4. Menarik perhatian ibu bapa , murid dan orang ramai kepada peranan penting kaum guru dalam masyarakat Malaysia
  5. Menilai secara objektif peranan guru dengan berlatarbelakangkan Malaysia dan mengambil langkah-langkah supaya peranan itu lebih berkesan
  6. Memberi peluang untuk memajukan kecekapan guru melalui seminar, persidangan, melanjutkan pelajaran dan sebagainya

Senarai Tema Hari Guru Dari Tahun 2000 Hingga Kini

Untuk panduan dan rujukan semua, berikut adalah senarai Tema Hari Guru dari tahun 2000 hingga tahun 2022 yang terkini:

  • 2022: Guru Tunjang Sekolah Sejahtera
  • 2021: Berguru Demi llmu, Bina Generasi Baharu
  • 2020: Berguru Demi llmu, Bina Generasi Baharu
  • 2019: Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi
  • 2018 : Guru Pemacu Transformasi Pendidikan
  • 2016/ 2017 : Guru Pembina Negara Bangsa
  • 2015 Guru : Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak
  • 2014 Guru : Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi
  • 2013 Guru Malaysia: 1Aspirasi, 1Agenda
  • 2012 Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara
  • 2011 Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara
  • 2010 Guru Pembina Negara Bangsa
  • 2009 Guru Pembina Negara Bangsa
  • 2008 Guru Cemerlang Negara Terbilang
  • 2007 Guru Penjana Modal Insan Gemilang
  • 2006 Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan
  • 2005 Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
  • 2004 Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
  • 2003 Guru Berkualiti Aspirasi Negara
  • 2002 Guru Berkualiti Aspirasi Negara
  • 2001 Memartabatkan Profesion Keguruan tanggungjawab Bersama
  • 2000 Bersatu Memartabatkan Profesion Keguruan

SK LARKIN 1 Diubahsuai Daripada Templat Templateism | Pengubahsuaian oleh Unit ICT Selarsa 2023

Dikuasakan oleh Blogger.